Wednesday 12 June 2013

Intro...


"Arkef"

            "Kawan-kawan kau semua dah kahwin. Tinggal kau seorang saja,"

            "Nampaknya kau kena mandi bunga, biar ada jodoh datang melekat,"

            Jodoh? Bukankah jodoh itu ditentukan oleh ALLAH. Mengapa pula aku yang harus bingung tentangnya? Biarkan jodoh itu datang sendiri. Itu lebih baik.

            Matanya hanya memandang bilah-bilah kipas yang saling berkejaran di siling biliknya. Beberapa hari kebelakangan ini, terngiang-ngiang suara ejekan dan perli sahabat-sahabatnya yang sudah mendirikan rumah tangga. Ya, hanya dia sahaja yang belum. Kadang dia berkecamuk. Kadang perasaan tersebut diabaikan. Namun ia tetap gentayangan. Arkef terus terbaring di atas katil. Dingin malam langsung tidak menggugat dirinya yang hanya berkain pelekat itu. Usai membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak, dia langsung merebahkan diri di atas katil. Makan malamnya hari ini hanyalah mi segera. Ibu masih belum pulang dari surau - mengajar anak-anak kecil mengaji.

            Melihatkan Bazli, yang terus melangsungkan perkahwinannya dengan Farhana, sebaik sahaja menamatkan pengajian peringkat sijilnya, dan Zamir yang baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan Liyana beberapa bulan lepas, membuat hati mudanya tergugat. Dia juga ingin mencari seseorang yang mendiami hatinya. Namun difikirkan pula nasib ibunya. Kaklong, kakak sulungnya pula yang sarat mengandung. Arkef kini adalah "hero" keluarganya. Mencari seberapa banyak rezeki untuk membantu kakaknya yang telah kehilangan suami akibat kemalangan, dan merealisasikan impian ibu untuk menunaikan haji tahun depan. Biarpun tubuhnya lenguh-lenguh, namun dia tidak boleh beralah.

            Sedangkan dia dikenali di kalangan rakan-rakannya sebagai seorang yang mampu melakukan tekan tubi  terbanyak, masakan dia tidak boleh bekerja berat? Tubuhnya sahaja yang dapat mentafsirkan sebanyak mana tenaga yang mampu digunakan. Pendek kata, dia harus kuat, sekuat fizikal seorang lelaki.

            Jadi, kesimpulannya mudah. Soal kahwin perlu ditolak tepi terlebih dahulu.


            Arkef tersedar dari lamunan dek bunyi ketukan pintu utama rumahnya. Dia bingkas bangun keluar sambil menyarungkan baju tee tanpa lengan. Mungkin ibu sudah pulang. Harapnya ibu ada bawa pulang sedikit lauk atau kuih untuk dijamah. Setakat melahap sebungkus mi segera tidak mengenyangkan perutnya. Dompetnya langsung kosong. Tiada simpanan untuk minyak motor, tiada simpanan untuk makan. Wang perbelanjaan sendiri pun sudah dimasukkan ke dalam akaun ibunya secara senyap-senyap.

            Telahannya benar.

            "Ibu, kenapa tak panggil Arkef suruh ambil ibu di surau? Kan ibu sakit lutut tu," Katanya sambil memapah ibunya masuk. Telahannya tepat sekali lagi. Di tangan ibunya adalah sebungkus lauk. Kari ayam, mungkin? Arkef cepat-cepat menutup pintu, berikutan angin mula bertiup. Hujan mungkin akan turun malam ini.

            "Ibu nak panggil Arkef tadi. Tapi Mak Ngah Leha beriya-iya mahu hantar mak balik, tak apalah. Ni, Arkef dah makan?"

            "Belum," balasnya sambil mengukir sengih. Arkef menarik kerusi meja makan untuk ibunya duduk. Bungkusan yang berisi mee kari itu tadi diletakkan di atas meja makan. Arkef melabuhkan punggungnya menghadap ibu. Dilihatnya wajah ibunya yang semakin menampakkan garis-garis tuanya. Helaian uban turut terlukis. Sayu hatinya. Sejak ayahnya meninggal dunia sewaktu Arkef berumur 13 tahun, ibunyalah yang menenangkan dia dan Kaklong. Ibu sedikitpun tidak menangis. Malah mampu mengukir senyuman dan menguatkan semangat kami untuk meneruskan hidup tanpa insan yang bergelar ayah.

            10 tahun berlalu. Dia kini semakin kuat. Arkef sedar bahawa dia harus membela nasib keluarganya. Siapa lagi kalau bukan dia, satu-satunya anak tunggal lelaki. Lelaki harus kuat. Itulah yang sering dinasihati oleh Pak Su Mansor, adik arwah ayah.

            "Ibu nak air?" tanya Arkef. Ibunya hanya mengangguk sambil tersenyum. Arkef bingkas bangun mengambil segelas air masak lalu diberikan kepada ibunya. Usai ibunya minum, Arkef perlahan-lahan memicit bahu ibunya. Dia tahu ibunya hampir hilang tenaga. Bermula dari subuh, dia menghantar ibu ke Majlis Perbandaran Kuantan untuk memulakan tugas. Usai bekerja, ibu pulang ke rumah dan berehat sebentar sebelum ke surau untuk mengajar fardu ain. Selepas waktu Isyak pula ibu mengajar anak-anak kampung mengaji.

            "Hmmm... Kalau tiba-tiba urut bahu ibu ni, ada apa-apalah tu," ibunya bersuara disusuli ketawa kecil.

            "Tak ada apalah, ibu," balasnya ringkas. "Arkef tahu ibu penat sangat. Hari-hari ibu kerja untuk kami," Sambung Arkef. Dadanya terasa sedikit sebak. Arkef menarik kerusi lalu duduk di hadapan ibunya.

            "Ibu, Arkef janji. Tahun ni Arkef nak bawa ibu dengan Kaklong ke Mekah. Kita sekeluarga ke Mekah tahun ni ya? Arkef tahu, kalau Arkef dapat bawa Ibu tunaikan haji, masih tak terbalas dengan apa yang ibu korbankan untuk kami selama ni," ujarnya.

            "Insyaallah, Arkef. Ibu doakan kesejahteraan kita sekeluarga. Ibu gembira bila Arkef kata macam tu,"

            Arkef menyeka airmatanya yang ingin menderu keluar. Dia tidak boleh menangis depan ibunya.




"Anisa"

            "Mama, Nisa harap sangat-sangat Mama dapat datang nanti. Adik tak dapat datang. Papa pun tak dapat datang. Mama sajalah yang Nisa belum ajak lagi. Please, Mama"

            Tiada respon. Anisa mengubah kedudukannya. Kali ini dia duduk berdepan dengan Mama. Kelihatan Mama sibuk membelek-belek daily schedule, sesekali menekan butang-butang telefon bimbit. Sibuk sungguh Mama kebelakangan ini. Bukan kebelakangan ini, malah sudah bertahun-tahun. Papa juga begitulah. Kadang terpaksa ke luar negeri, melawat tapak pembinaan hinggakan seminggu dua tidak pulang ke rumah.

             Adik bongsunya juga sama. Pulang dari sekolah, terus ke gim dan khayal dengan dunia jamming bersama rakan-rakannya itu. Lewat malam barulah muncul di depan pintu. Entah bila dia siapkan kerja sekolahnya. Anisa bagaikan keseorangan di dalam keluarganya. Biarpun tinggal dalam keluarga yang kaya raya. Serba serbi lengkap. Apa yang dihajati pasti akan dipenuhi. Namun apa yang diingini ialah perhatian. Kasih sayang ibu dan ayah. Kemesraan seorang adik. Berkali-kali Anisa ingin memberontak namun dia hanyalah seorang gadis yang berumur 20 tahun. Tiada siapa yang menampung hidupnya kecuali Mama dan Papa.

            Pulang dari kampus UIA, perkara pertama yang dilakukan Anisa ialah memencilkan diri dalam perpustakaan. Ya, perpustakaan adalah syurga baginya. Salah satu sebabnya ialah penghawa dingin. Anisa meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam menelaah buku-buku rujukan dan novel kegemarannya. Buku adalah sahabat sejatinya sejak kecil. Dengan bukulah dia mentarbiyahkan dirinya untu terus mendekatkan diri kepada ALLAH. Dengan buku jugalah dia mengenal kehidupan. Dengan novel juga dia belajar menjadi gadis yang sebenar. Itu sahajalah sahabatnya selain rakan sekampusnya, Hamizah, Jannah, Sumarni dan Aimi.
            "Mama..." Anisa cuba memujuk ibunya sekali lagi. Mama menutup buku schedule secara mengejut. Satu pandangan tajam dilemparkan tepat ke matanya. Anisa terkaku. Habislah, dia mungkin akan dibebel.

            "Bila tarikhnya?"

            Anisa membulatkan mata.

            "Err... 20 Februari. Minggu depan. Mama datang, okey? Sayang Mama,"

            Anisa bangkit membawa beg galasnya lalu pulang ke kamarnya. Benarkah apa yang didengarinya tadi? Akhirnya Mama bersetuju untuk menghadirkan diri ke majlis makan malam kampusnya. Semestinya dia membawa Mama kerana tema majlis itu adalah hari ibu. Jikalau semua teman-temannya membawa ibu mereka, dia juga mahu. Akhirnya mampu juga dia mengukir senyuman kegembiraan.
            "Kak, Amie laparlah,"
            Anisa terkejut bukan kepalang. Dia beristighfar. Entah bila adiknya muncul di belakang. Anisa mengurut-ngurut dadanya.
            "Assalamualaikum, Muhammad Hizami Fakhri. Lain kali tolong beri salam, boleh? Nasib baik Kak Nisa tak ada sakit jantung, kalau tak..."

            Dengan berbaju singlet putih dan seluar jeans ketat, berkaca mata lutsinar bingkai tebal dan topi berjenama entah apa-apa, tuhan sahaja yang tahu apa jenis fesyen yang telah mempengaruhi adiknya itu. Anisa berpeluk tubuh sambil menggeleng-geleng kepalanya. Inikah adiknya yang dahulunya dikenali sebagai seorang yang sering menghabiskan masa di padang? Tidak seperti dahulu yang hanya rajin bermain bola sepak. Kini terlibat pula dengan kegiatan jamming, mengalunkan rentak rock, punk dan apa-apa sahaja yang membingitkan telinganya.

            "Mari, ikut akak,"

             Hizami hanya tersengih sambil menggaru-garu bahunya yang tidak gatal.

            Usai urusan di dapur, Anisa tidak berlengah menyendiri di bilik tidurnya. Dia melangkah ke balkoni bilik untuk menikmati bayu malam. Panorama bandar Kuantan yang nampak cerah dan hidup menghiasi segenap malamnya. Kelihatan tersergam indah bangunan Hotel Zenith dan SASICC yang bercahaya dengan lampu neon di sekelilingnya. Anisa berasa beruntung kerana memiliki ruang kamar yang menghadap bandar yang telah didiami sejak dia lahir lagi.

            Suasana di perumahan Bukit Istana kelihatan suram. Hanya lampu jalan yang setia menghiasi setiap lorong perumahan mewah itu. Sesekali terlihat beberapa pengawal keselamatan membuat rondaan di situ. Anisa hanya tersenyum. Dia mengakui, betapa indahnya ciptaan ALLAH S.W.T.

            Angin bayu malam sesekali menyapa tubuhnya yang hanya berblaus corak hijau tua dan hijau muda itu. Anisa menggosok-gosok tubuhnya. Agak dingin. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 10.30 malam. Awal benar adiknya pulang hari ini. Paling lewat dia akan pulang pukul 12 atau pukul 2 pagi.